Selasa, 11 November 2008

RIWAYAT SEORANG PEMETONG






Salam perkenalan buat rakan pemetong. Wujudnya ruang Blog ini banyak memberi peluang untuk kita berkongsi maklumat atau pengalaman kita dalam sukan Petanque. Terima kasih kepada Christiadi atas penghasilan Blog seperti ini..Saya Kenny Bin Demei merupakan pendatang baru dalam dunia sukan Petanque. Pada awalnya saya tidak mengenali apa itu Petanque apalagi mau meminati sukan seperti ini. Bagi saya Petanque adalah permainan yang membosankan, sukan untuk orang yang dah berumur, dan langsung tidak mencabar. Sebelum ini saya hanya lebih cenderung kepada Futsal ataupun Bola Sepak yang memerlukan stamina dan kekutan fizikal disamping lebih menyeronokan. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada Petanque adalah Nordin atau lebih mesra dipanggil Pak Din yang juga merupakan rakan setugas saya. Buat pertama kali saya melontar Boule apabila menggantikan tempat Pak Din untuk sementara semasa menentang Christiadi dalam satu sesi latihan. Saya tidak tahu sama ada keputusan perlawanan sengaja diatur ataupun tidak, keputusan perlawan berpihak kepada saya. Kemenangan merupakan satu kepuasan. Walaupun masih mentah dalam sukan ini, saya terpanggil menyertai pasukan Myy Petanque dalam satu pertandingan yang diadakan di Mukah iaitu di bandar kelahiran saya sendiri. Pernyertaan saya ini saya anggap sebagai 'Bidan Terjun' kerana terpaksa menggantikan salah seorang rakan yang terpaksa menarik diri disaat akhir kerana urusan kerja. Keadaan gugup dan tidak berpengalaman menyebabkan permainan saya tidak seperti yang diharapkan. Walaupun tewas, saya anggap ini adalah pengalaman yang cukup berharga dan titik permulaan sebenar saya dalam Petanque. Saya tidak terus berhenti di situ. Malah, cinta saya terhadap sukan Petanque semakin mendalam. Anggapan saya sebelum ini terhadap sukan Petanque ternyata meleset. Petanque merupakan sukan yang menyeronokkan. Bila ada kelapangan selepas waktu kerja, saya akan terus berlatih bersama Christiadi, Aziz dan mentor saya Pak Din. Tunjuk ajar daripada rakan sepasukan terutamanya Pak Din sendiri dipraktik sebaiknya bagi mempertajamkan kemahiran saya sebagai pemain Petanque.

Medan Latihan kami merupakan padang Petanque Millenium Bintulu. Sesi latihan juga turut disertai oleh rakan2 dari pasukan lain seperti MLNG, BDA, SESCO,ABF dan Pendidikan. Satu lagi kelebihan latihan seperti ini apabila kita mendapat tunjuk ajar dari orang yang lebih berpengalaman disamping bertemu rakan2 baru yang mempunyai kemahiran yang berbeza di dalam sukan ini.



Setelah beberapa sesi latihan, kami berminat untuk menyertai satu pertandingan Triple Petanque yang dianjurkan oleh MAKSAK. Pertandingan yang diadakan di padang Petanque Millenium Bintulu ini tertutup kepada pasukan2 yang
berada di kawasan Bintulu sahaja. Pasukan BCOT C yang diwakili oleh Pak Din Aziz dan saya sendiri telah berjaya masuk ke pusingan suku akhir tetapi tewas kepada pasukan MLNG. Sebagai pasukan 'underdog' pencapaian ke suku akhir sudah cukup membanggakan. Perlawanan antara BCOT -MLNG ini menjadi tumpuan kerana terlalu sengit dan mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih untuk dihabiskan. Selain berbalas serangan psikologi, keadaan cuaca yang panas menyukarkan tumpuan terhadap perlawanan. Akhirnya kami kalah tipis dan akur dengan kelebihan pengalaman yang ada pada pasukan MLNG.

Kini, saya merupakan ahli kepada Kelab Millenium Bintulu dan salah seorang ahli PEPSAR. Saya akan terus berlatih bagi mempertingkatkan kemahiran dan berazam dapat bermain di peringkat yang lebih tinggi.

-Sondol Terhormat-



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

steady aku...